Pemergian Syeikh Fathi Yakan sememangnya meninggalkan bekas yang mendalam di hati-hati umat Islam seluruh dunia. Kehadirannya adalah sebuah kurniaan besar dari Allah, dan pemergiannya yang tidak disangka juga adalah fitrah kehidupan yang telah Allah tetapkan. Semua jiwa-jiwa yang telah dipinjamkan akan menemui Tuhannya. Tidak ada seorang pun yang akan terselamat, walaupun dibina tembok yang tinggi, mempunyai doktor yang hebat dan membina dinding kukuh berisi besi. Jika ajal telah tiba, tidak akan sesekali Allah lewatkan atau percepatkan. Firman Allah, “Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya.” (Al-A’raf:34)
Lubnan atau lebih tepat lagi Tripoli pasti menangisi pemergian tokoh ini. Di sinilah tempat beliau dilahirkan pada tanggal 9 Februari 1933. Tokoh ini tidak asing dalam dunia pergerakan islam, lebih-lebih lagi bagi Ikhwan Muslimin. Pengaruh tulisan-tulisannya telah menular dan meresap jauh ke dalam hati-hati umat Islam tentang peri-pentingnya dakwah islamiah dalam kehidupan seharian. Malahan tulisan-tulisan beliau bukan sahaja dapat di baca dalam bahasa Arab, tetapi telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa, termasuklah bahasa Malaysia. Bukunya yang mashur iaitu “maza ya'ni intimai Ila Islam” (Apakah Ertinya saya menganut agama Islam) telah dijadikan silibus Usrah oleh kebanyakkan pertubuhan-pertubuhan Islam.
Beliau dikenali sebagai insan yang bukan sekadar berteori semata, tetapi melaksanakan apa yang dikata. Kehadirannya di tengah-tengah masyarakat dalam menyampaikan risalah-risalah Islam dalam kuliah-kuliah di masjid dan pelbagai tempat, menambahkan lagi ketokohan beliau di mata masyarakat. Seperti kebanyakan tokoh-tokoh gerakan Islam yang lain, beliau juga tidak terlepas dari dipenjarakan. Tulisan dan penglibatan beliau dalam gerakan Islam dianggap mengancam kedudukan dan memerbahayakan pemerintahan. Atas alasan itu beliau telah dipenjarakan, malahan beliau turut diseksa dengan pelbagai cara.
Tetapi dugaan dan cubaan itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk menyebarkan risalah Tauhid dan mengembalikan kegemilangan Islam di seluruh dunia. Cubaan itu hanyalah secebis ujian yang Allah berikan kepada beliau. Malahan ujian itu dianggap sebagai penanda aras sejauh mana imannya kepada Allah. Selaras dengan firman Allah yang bermaksud, “Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (al-Baqarah:214)
“Apakah yang diperbuat musuh padaku!.. Aku, terpenjaraku adalah khalwat. Kematianku adalah mati syahid. Terusirku dari negeriku adalah rekreasi.” Ucapan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah ini sesuai untuk ditujukan kepada tokoh seperti Syeikh Fathi Yakan. Kehidupannya dipenjara tidak disia-siakan begitu sahaja. Jika Syed Qutb menghasilkan Tafsir Fi Zilalil Qur’an di penjara, begitu juga dengan HAMKA dengan tafsir Al-Azhar, maka beliau juga turut menghasilkan tulisan-tulisan ketika mendekam di dalam penjara. Namun tulisan-tulisannya disasarkan khusus untuk para pemuda dan pemudi Islam. Beliau berkeyakinan bahawa para pemuda dan pemudi Islam adalah asset Islam yang harus dikejutkan dimotivasikan dengan semangat dan nilai-nilai Islam.
Kata Syeikh Fathi Yakan ketika membicarakan tentang para pemuda dan pemudi ini. Katanya, “Pemuda ialah sebuah tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan alam. Tetapi orang lain telah mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat manusia. Sesungguhnya manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda dan pemudi tetapi mereka ini hanyalah kosong, hanyut dan terbiar.”
Sehingga akhir hayatnya, beliau tetap berkeyakinan bahawa para pemuda dan pemudi Islam adalah agen perubahan kepada Daulah Islamiyah. Tokoh yang mempunyai kelulusan Master dalam bidang Kejureteraan dan Dokterat dalam bidang Pengajian Islam dan bahasa Arab ini akhirnya pergi menghadap Illahi pada tanggal 13 Jun 2009. Sesungguhnya permergian beliau bagaikan kehilangan sebutir mutiara di dasar lautan. Moga Allah menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman dan mendapat syurga Firdaus.
Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah, bahawa Allah tidak akan sesekali menghilangkan ilmu pengetahuan sekaligus dari dada-dada manusia, tetapi mematikan para alim-ulama’. Dari Abdullah bin ‘Ash r.a. berkata, “Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda ; “Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut
(menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” (Hadis direkodkan Imam Muslim)Artikel asal dari yussamir.com
No comments:
Post a Comment