Sakitnya!!..=(

As-salamu `alaykum wa rahmatullah...... Bismillahir Rahmanir Rahim...



KEHIDUPAN ini kadang-kadang tidak berlangsung dengan baik, menceriakan dan membahagiakan manusia. Ada ketika manusia akan menghadapi saat genting yang membuatkannya tidak dapat melakukan apa-apa.

Dalam saat genting inilah Allah memerintahkan manusia menghadapinya dengan sabar dan tenang sesuai dengan petunjuk-Nya.

Dalam saat genting ini juga, manusia diuji Allah sama ada dia insan sabar dan optimis atau mudah berputus asa serta pesimis.


Sakit adalah antara musibah yang Allah timpakan. Manusia tidak selamanya sihat yang memungkinkan mereka melakukan apa saja.

Tetapi, ada ketikanya manusia akan berdepan dengan musibah sakit tetapi ia bukan azab ditimpakan Allah kerana kemurkaan dan kebencian sebaliknya, ia sebahagian daripada kasih sayang Allah dan perhatian-Nya kepada orang beriman.

Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: 
“Sesungguhnya seorang yang beriman ketika ditimpa musibah sakit, kemudian Allah menyembuhkannya, maka itu adalah kaffarah (penghapus) bagi dosa-dosa yang dia lakukan sebelumnya, sekali gus menjadi peringatan berharga untuk menghadapi masa akan datang.” (Hadis riwayat Abu Dawud)[center]

Mungkin timbul persoalan mengapa Allah menghapuskan dosa orang Mukmin yang sedang sakit? Dapat disimpulkan dua sebab iaitu faktor kesabarannya dan juga sikap optimisnya ketika menghadapi menerima musibah itu.

Oleh itu, sakit seharusnya dihadapi dan diterima sebagai ujian kesabaran dengan lapang dada dan terbuka. Bukankah Allah selalu menyebut bahawa Dia akan bersama dengan orang sabar, termasuk sabar dalam kesakitan.

Firman Allah yang bermaksud:
[center]“...kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153)


Kedua, faktor keinsafan dan kesedaran yang mula timbul apabila seseorang jatuh sakit.

Masa sakit pada asasnya satu detik bagi seseorang untuk merenung, mencermin diri dan bermuhasabah terhadap segala perbuatannya yang lalu.

Seorang Muslim sejati akan menjadikan masa sakit sebagai wadah bermuhasabah, sejauh manakah dia menurut segala perintah Ilahi dan menjauhi larangan-Nya pada saat dia sihat.

Sakit juga isyarat bahawa manusia adalah makhluk lemah dan kerdil yang tidak dapat berbuat apa-apa, masih memerlukan hidayah serta pertolongan Allah yang Maha Berkuasa.

Dalam menangani musibah sakit, Rasulullah SAW pernah berpesan kepada umatnya melalui sabda Baginda yang bermaksud: 
“Bersihkanlah hartamu dengan zakat, ubatilah sakitmu dengan sedekah dan tolaklah olehmu musibah-musibah dengan doa (yang ikhlas).” (Hadis riwayat Tabrani)


Demikian nasihat Rasulullah SAW kepada umatnya berkaitan permasalahan dihadapi umatnya. Dalam hadis itu, Rasulullah SAW memberikan kunci untuk menjalani kehidupan yang mencabar ini.

Harta amat dicari setiap insan di muka bumi ini. Oleh itu, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya supaya mencari harta sebanyak mungkin. Malah, Rasulullah SAW sendiri contoh terbaik sebagai pedagang berjaya.

Namun, Islam mengajar umatnya bahawa harta yang diperoleh tidak akan suci melainkan selepas dikeluarkan zakatnya. Kewajipan berzakat jelas dalam al-Quran.

Allah berfirman bermaksud: 
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak buruk); dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendengar.” (Surah al-Taubah, ayat 103)


Sakit adalah sebahagian daripada fasa peralihan kehidupan manusia. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: 
“Berubatlah kerana tidak ada satu penyakit diturunkan Allah melainkan diturunkan juga ubat penawarnya, kecuali satu penyakit iaitu penyakit tua.” (Hadis riwayat Abu Dawud & Tirmizi)


Salah satu daripada penawar sakit adalah memperbanyakkan sedekah kerana setiap sedekah dikeluarkan mengandungi makna keberkatan dan nilai doa, lebih-lebih lagi jika sedekah disumbangkan kepada orang yang benar-benar memerlukan.

Imam Muslim ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sentiasa mendoakan orang bersedekah dengan doanya: “Ya Allah Ya Tuhanku! Rahmatilah mereka”.

Musibah yang menimpa pada hakikatnya akibat berpunca daripada tangan manusia sendiri.

Bukankah Allah sudah berfirman bermaksud: 
“Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang sudah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum, ayat 41)


Justeru, untuk menghindari dan menyelamatkan diri daripada musibah itu, menjadi kewajipan Muslim untuk memperbanyakkan doa supaya Allah melindungi diri kita daripada bahaya.

Allah berfirman bermaksud: 
“Katakanlah: Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepada-Nya dengan merendah diri (secara terang-terangan) dan secara bersembunyi, dengan berkata: Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini, nescaya jadilah kami dari orangohrang yang bersyukur.” (Surah al-An’am, ayat 63)



sumber asal: =3

No comments:

Post a Comment