Cerita Ruben Abu Bakr

As-salamu `alaykum wa rahmatullah...... Bismillahir Rahmanir Rahim...




Aku mula mengkaji al-Quran selepas perbualanku dengan Mursyid tempoh hari. Mursyid menghadiahkan senaskhah al-Quran terjemahan bahasa ibundaku sebagai hadiah aku berpapasan dengannya.
“Di dalam Al-Quran ini ada petunjuk”
“Aku bukan orang Islam”
“Tidak semestinya orang Islam sahaja yang boleh membaca al-Quran”
            Aku mula mengkaji al-Quran. Awalnya, aku mengkaji al-Quran untuk mencari kelemahannya. Apabila aku khatam terjemahannya, aku bermonolog; “ini bukan kalam manusia!” Pasti aku tidak silap akan itu. Tiada kecacatan, malah pemilihan perkataan dan frasa yang digunakan sangat sesuai pada konteks penerangan isinya. Tiada percanggahan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain. Jika ada kekeliruan, sentiasa ada penjelasannya. Malah, satu sistem kehidupan yang cantik dan teratur dapat dilihat daripada al-Quran.
Kini aku tidak mampu lagi menahan getaran perasaan apabila membaca al-Quran yang dikatakan kalam Tuhan itu.
            Aku rasa tidak puas lantas aku kaji kehidupan Muhammad bin Abdullah. Aku selak-selak hadisnya. Aku teliti perjalanan hidupnya. Aku tidak menemui apa-apa yang dinamakan kecacatan. Selama ini tohmahan daripada kaumku rupanya ada niat yang tidak baik. Aku dapat merasakan nya. Mereka memotong juzuk kehidupan Muhammad bin Abdullah sesuka hati sahaja. Mereka memberi fokus kepada tindakan Baginda yang dianggap negatif tanpa mencari penjelasan bagi mengimbangi dakwaan mereka tersebut.
            Kebenarankah ini? Jiwaku seakan meronta-ronta. Aku inginkan kebenaran! Tuhan, apakah Kau membenarkannya?
            Aku mahu bukti terus dari Tuhan yang bernama ALLAH ini. Ya, aku ingin mencabarnya. Buktikan bahawa Dia benar. Aku tidak mahu mendengar kata orang lain. Aku tidak mahu bergantung kepada buku. Aku sudah puas mengkaji. Sekarang, aku ingin Dia sendiri membuktikan kepadaku!

                        ***********************************

AKU DUDUK DIKELILINGI BULATAN LILIN. Sengaja ku tutup lampu bilik dan membiarkan angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan api lilin meliuk perlahan. Aku membina satu medan yang dipanggil medan spiritual.
            Aku percaya ALLAH itu ada tetapi pada dimensi yang berlainan. Untuk memanggil nya keluar aku kira perlu melakukan cara ini.
            Aku memegang al-Quran dan membacanya dalam bahasa Arab seperti yang diajar oleh Mursyid selama ini. Aku kini sudah mampu membaca al-Quran dalam bahasa asalnya. Lebih menusuk dan member kesan.
            Tiba pada satu halaman, aku berhenti. Aku mengambil nafas, bersedia dan memerhati sebarang tanda atau keajaiban secara langsung daripada ALLAH SWT.
            “Ya Allah!”. Aku menjerit. “Jika Kau benar, berikan aku tanda!”. Suaraku menerobos keluar tingkap. “Aku lihat Islam merupakan agama yang baik tetapi aku masih tidak cukup yakin. Sekarang, berikan aku tanda yang membolehkan aku masuk ke dalam agama-Mu ini!”
           

Sunyi sepi. Aku masih sendiri. Tiada apa-apa yang berlaku. Dalam kepalaku, aku mengharapkan lilin-lilin ini menjadi api yang marak menjulang atau bilik ini bergegar atau dinding roboh tiba-tiba atau ada makhluk yang muncul tiba-tiba yang memberitahuku itu dan ini. Tiada apa-apa yang berlaku.
            “Allah, ini peluang-Mu. Jika tidak aku tak akan menerima Islam!”. Aku cuba mengugut. Aku mahu Allah muncul sendiri. Paling kurang memberikan sebarang tanda. “Bukankah Kau sangat berkuasa, tunjukkan kekuasaanMu sekarang!”
            Masih sunyi. Sepi, yang menemaniku hanyalah desiran angin damai yang masuk melalui tingkap. Aku menggeleng. Mungkin Allah sibuk. Itu fikiranku.
            “Tak mengapa. Aku berikan kau peluang. Aku akan tunggu petanda Kau disini. Aku tidak akan berganjak!”. Aku bersemangat dan bertegas. Lalu, aku menyambung bacaan al-Quran. Ku selak halaman sebelahnya. Ayat itu ku baca;

“Sesungguhnya, pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang berlayar di lautan yang membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga pada hujan yang Allah turunkan dari langit; lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan darinya berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga pada peredaran angin dan awan yang tunduk(kepada kekuasaan Allah) terapung-apung di antara langit dan bumi. Sesungguhnya (semua itu) ada tanda-tanda(yang membuktikan kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran. (Al-Baqarah, 2:164)


Dunia tiba-tiba menjadi terlalu sunyi. Aku seolah-olah diserap ke alam lain. Bulu romaku meremang naik. Tubuhku bergetar hebat. Di benak fikiranku, muncul imej dan layangan objek. Awan tanpa tali. Bumi berputar pada paksi yang tidak kelihatan. Planet-planet bergerak kemas pada jaringan orbit tanpa berlanggar sesame sendiri. Kitaran flora dan fauna. Kitaran air. Komposisi udara yang sempurna. Peredaran darah dalam tubuh manusia dan 1001 lagi perkara yang menakjubkan yang berlaku dalam kehidupan manusia.
            Air mataku mencucur laju. Lalu, aku sujud...

***************************************
Keesokan harinya(pada bulan Ramadhan) aku mengucapkan kalimah syahadah di hadapan para jemaah. Bermula lah kehidupanku sebagai seorang Muslim...

Info: Cerita ini berdasarkan kisah benar keIslaman seorang manusia bernama Ruben yang menetap di Australia. Saya menonton video beliau di Youtube dan sangat terkesan dengan cara beliau memeluk Islam setelah kira-kira 6 bulan mempelajari dan mengkaji tentang Islam. Nama Islam beliau ialah Abu Bakr. Semoga dengan kisah ini akan memantapkan aqidah & iman kita semua. Amin.

*sekadar ingin berkongsi cerita. Via HILAL ASYRAF~

No comments:

Post a Comment